POWER OIL AND GAS

TSUNAMI DAN GEMPA BUMI DI JEPUN

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh. 

Agensi berita Kyodo melaporkan, gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran. 

“Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.
“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.
Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.
“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.
Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada. – Reuters

SINGAPURA: AMARAN tsunami dikeluarkan di seluruh Pasifik kecuali tanah besar Amerika Syarikat dan Kanada selepas gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala Richter melanda Jepun semalam, kata Pusat Amaran Tsunami Amerika.
Amaran itu termasuk di Hawaii dan menganjur dari Mexico sehingga negara Amerika Selatan di Pasifik, kata pusat itu.
Antara negara yang menerima amaran tsunami ialah: Russia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.

Australia dan New Zealand, yang berada dalam senarai awal amaran, kemudian dikeluarkan. Pusat Amaran Bersama Tsunami Australia mengesahkan tiada ancaman tsunami di negara itu.

Indonesia, yang pernah dilanda tsunami besar pada 2004 apabila 170,000 orang terkorban di wilayah Aceh, berkata ia menjangka ombak tsunami mungkin melanda kawasan timur di Sulawesi Utara, Papua dan Maluku sekitar jam 1135 waktu tempatan.

Pengawal pantai Taiwan memindahkan sejumlah kecil penduduk di bahagian timur awal semalam dan menjelang 1105 waktu tempatan, biro cuaca pusat menarik balik amaran tsunami mengatakan ia menjangka ombak setinggi 10 sentimeter menyerang, berbanding 50 sm yang diramalkan sebelumnya.
Agensi pertahanan awam Hawaii mengarahkan semua penduduk di kawasan pantai dipindahkan termasuk hub pelancong utama di Honolulu dipindahkan menjelang jam 2 pagi waktu tempatan. Ombak tsunami pertama dijangka menyerang Hawaii jam 3 pagi waktu tempatan.

Lori Untalan, seorang pegawai di Pejabat Pertahanan Awam Keselamatan Dalam Negeri Guam memberitahu Reuters, satu amaran tsunami berkuat kuasa di pulau itu.

Pantai dikosongkan dan hotel memindahkan tetamu ke bilik di tingkat tinggi, sementara di Pulau Mariana, semua penduduk diarah berpindah ke tempat tinggi.

Beratus penduduk di kawasan pantai di tiga wilayah utara Filipina mula berpindah ke tempat tinggi selepas kerajaan menaik taraf amaran tsunaminya, walaupun tiada arahan rasmi pengosongan.

Pulau Marshall, satu rangkaian kepulauan kecil Pasifik, sudah bersiap sedia dengan ancaman tsunami, dijangka melanda jam 11.30 malam waktu tempatan.

“Kami tidak pandang ringan perkara ini,” kata Bill Weza, Pengurus Besar Marshall Island Resort Hotel, berdekatan ibu kota Majuro.

“Jika ia cukup besar ia akan menghempas semua kepulauan ini, namun penduduk diberitahu supaya tidak panik dan bertenang.” – Reuters 
 

gempa bumi di jepun | tsunami di jepun | gambar tsunami di jepun | gambar gempa bumi di jepun

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...